Sunday 29 May 2011

Aluan Presiden

 

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,

Bersyukur kepada Illahi kerana dengan limpah kurnianya dapatlah saya diberi peluang untuk merakamkan sepatah dua kata di dalam ucapan aluan pelancaran blog Persatuan Bekas Pelajar SMRKT Batch 88-90 ini. Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Saudara Idris kita kerana bersungguh-sungguh dalam mewujudkan blog ini. Tidak lebih dari tujuan untuk merapatkan saudara-saudara kita di zaman persekolahan dulu agar penggabungan ini dapat menjadi satu titik noktah permulaan yang positif dari segi khabar berita, perkembangan keluarga masing-masing dan mungkin dari segi peluang-peluang ekonomi yang dapat dikongsi bersama-sama.

Kasih ayah sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga.Itu adalah pepatah melayu lama yang terlintas di sanubari saya ketika saya ketiadaan idea untuk menulis dalam ucapan ini.Apa yang boleh saya kaitkan di sini adalah tanpa mereka kita akan berada di mana kita berdiri sekarang. Alangkah baiknya satu hari nanti satu blog ini dapat mewujudkan pelbagai aktiviti yang boleh mewujudkan penglibatan ibubapa sebagai satu penghargaan kepada mereka.

Perjalanan kita masih jauh lagi walaupun umur kita secara purata mencecah 36 tahun. Apa yang saya dapat nyatakan disini adalah blog ini akan menjadi satu dokumen  catatan sejarah kepada kita,anak-anak kita dan cucu kita pada masa akan datang. Satu perjalanan ya ng penuh warna warni untuk kita lihat dan hayati tatkala masa berlaku dengan begitu pantas zaman ini. Sebelum ini kita dikelilingi suasana zaman remaja  semasa bersekolah dengan didodoi lagu dari Gugurnya Bunga Cinta dari Kumpulan Laksamana, Cinta Untuk Nabila dari Kumpulan Melissa ataupun Maya Percintaan dari kumpulan Utopia  dan banyak lagi. Ketika itu zaman rock kapak menjadi ikutan dan kegilaan. Masih saya ingat kawan-kawan kita pergi sekolah dengan seluar yang ketat dan berkasut ala-ala kumpulan rock. Bagi pelajar perempuan pula ada yang berkain senteng(terlebih tinggi dari sepatutnya). Itu sebahagian memori yang dapat saya ingat ketika itu namun mungkin dalam blog ini Saudara Idris kita dapat menyediakan satu ruang untuk kawan-kawan menceritakan peristiwa-peristiwa menarik ,lucu, seram dan sebagainya untuk kita kongsi asalkan ia tidak menjatuhkan air muka kawan-kawan kita dalam persatuan ini.

Akhir kata dari saya, semoga pelancaran blog ini akan menjadi satu penghubung yang menjadi selama-lamanya antara kawan-kawan kita dalam persatuan ini. Idea dan cadangan yang bernas amat diperlukan dari anda untuk menjadikan blog ini melalui prosen penambahbaikkan dari masa ke semasa. InsyaAllah jika ada kekuatan dari kawan-kawan semua, persatuan ini akan kita daftarkan dan bermula saat dari itu, banyak aktiviti, kelebihan dan faedah yang kita kongsi bersama demi menaikan nama sekolah kita dan juga bekas pelajar-pelajar .

Sekian Terima Kasih

Mohd Helmey Rahim
(Presiden)

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites